Pages

Wednesday 18 November 2009

Rajagopal Pasrah

PENYERANG yang berjaya merobek gawang Uzbekistan, Sabtu lalu, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak sudah pasti tidak diturunkan pada pertemuan kedua kelayakan Piala Asia 2011 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang ini.

Zaquan yang menyerlah pada perlawanan pertama di Stadium JAR, Tashkent, turut menerima kad kuning kedua dalam pertemuan itu dan kini menjalani penggantungan satu perlawanan.

Penyerang Negeri Sembilan itu akan ditemani di tempat duduk penonton oleh pemain pertahanan, Mohd Nasriq Baharom, yang senasib dengannya.

Kedudukan abang Zaquan, Mohd Aidil Zafuan pula masih menjadi tanda tanya apabila tonggak pertahanan itu dilaporkan cedera tapi ketua jurulatih, K Rajagobal mengesahkan ia tidak serius.

Pintu Malaysia untuk ke pusingan akhir Piala Asia 2011 seakan sudah tertutup apabila menduduki tangga terbawah Kumpulan C dan dengan ketiadaan Zaquan serta Nasriq, Uzbekistan mempunyai kelebihan ketara selepas menang 3-1 pada pertemuan pertama.

Kekuatan Uzbekistan diakui Rajagobal dan beliau pantas meminta peminat bola sepak Malaysia supaya tidak mengharapkan keajaiban daripada anak buahnya yang sebahagian besarnya masih terlalu mentah.

“Saya sering katakan bahawa ini adalah skuad muda. Kalau boleh, memang kami mahu menang, tetapi biarlah kita berpijak di bumi nyata. Apalah kekuatan kita jika dibandingkan dengan Uzbekistan.

“Mereka mempunyai ramai pemain beraksi di liga luar dan adakah pemain kita mendapat pendedahan serta pengalaman sebegitu? Buat masa ini, biarlah pemain muda kita ini dengan gaya mereka sendiri tanpa desakan untuk menang.

“Mereka semua mempunyai ruang untuk berjaya suatu hari nanti dan kita tidak boleh mengharapkan mereka memberikan keputusan positif dalam masa terdekat ini.

“Selepas tiga tahun, barulah saya berani untuk menyandarkan harapan kepada barisan ini.

“Agenda saya sekarang ialah untuk memberikan mereka pendedahan serta perlawanan kompetitif sebelum beraksi di Sukan Sea.

“Sebagai jurulatih, saya mahu melihat aspek positif dari segi kerjasama serta sejauh mana mereka mampu beraksi di bawah tekanan,” katanya.

Rajagobal bagaimanapun berkata, anak buahnya tidak akan bermain secara sambil lewa dan tetap bermati-matian di Stadium Nasional, Bukit Jalil, nanti.

HMetro 18/11/2009
Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

No comments:

Post a Comment