Pages

Monday 23 November 2009

MSN Juara Bolasepak Sukan Media-Majlis Sukan Negara

PASUKAN Majlis Sukan Negara (MSN) merangkul gelaran juara acara bola sepak Sukan Media-Majlis Sukan Negara (MSN) yang berlangsung di Padang Astrotuf di MSN, Bukit Jalil semalam.

MSN merampas gelaran tersebut daripada pasukan Pakatan yang terdiri daripada gabungan pemain-pemain Astro Awani, Malay Mail dan Sinar Harian yang muncul juara acara bola sepak lima sebelah tahun lalu.

Tempat kedua dimenangi TV3 dan akhbar The Star tempat ketiga.

Selain 12 organisasi media, dua pasukan khas iaitu MSN dan pasukan penaja juga turut mengambil bahagian.

Acara bola sepak adalah acara kemuncak karnival sukan tersebut selain ping pong dan boling.

Ia dianjurkan khusus untuk petugas media sukan seluruh negara termasuk warga MSN.

Bagi acara boling yang berlangsung kelmarin, juara menjadi milik The Star A diikuti tempat kedua MSN A dan tempat ketiga, Sinar Harian.

Manakala, akhbar China Press mendominasi acara ping pong apabila dua kumpulan daripada media terbabit mengungguli tempat pertama dan kedua sementara Berita Harian menduduki tempat ketiga.



PASUKAN Komso! dan Malay Mail bergambar kenangan sebelum memulakan perlawanan pada Kejohanan Bola Sepak 5 Sepasukan Media-MSN di Bukit Jalil semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, sambutan penyertaan petugas media menyertai karnival ini cukup mengalakkan berbanding tahun lalu.

"Penyertaan semua pihak khususnya media sungguh baik dan matlamat untuk merapatkan hubungan silaturahim antara media dengan tenaga kerja MSN tercapai.

"Kali ini, kami menambah satu lagi acara sukan iaitu acara ping-pong bagi menarik penyertaan di kalangan media tempatan berbangsa Cina dan ternyata ia mendapat sambutan hangat," katanya.

Zolkples berkata, semangat kesukanan yang ditunjukkan petugas media sukan turut menyerlah kerana mampu mencari sendiri penaja untuk setiap acara yang disertai.

"Dengan matlamat itu, syarat penyertaan hanya terbuka kepada wartawan dan jurugambar sukan daripada organisasi media serta pegawai tinggi MSN yang berpangkat ketua unit sahaja," katanya semalam.

Pasukan-pasukan media yang beraksi pada karnival tahun ini terdiri daripada Astro Awani-ESPN, TV3, RTM, Kosmo!, Malay Mail, Harian Metro, Utusan Malaysia, New Straits Times, Sinar Harian, The Star, Bernama dan Berita Harian.

KOSMO 23/11/2009

No comments:

Post a Comment